Pasaran Saham London Catat Rekod Tertinggi

No comment 174 views

 
 
LONDON: Pasaran saham dunia kebanyakannya meningkat semalam, dengan London mencapai tahap tertinggi pada awal sesi dagangan pertama 2017 dan Wall Street meneruskan peningkatan menuju paras 20,000 mata. Harga minyak juga meningkat, manakala dolar mengukuh berbanding mata wang utama. "Tahun Baharu telah bermula dengan baik, sekurang-kurangnya untuk dolar, saham dan minyak mentah," kata Saeed Fawad Razaqzada, penganalisis di Forex.com. Indeks FTSE 100 London mencapai paras tertinggi dalam sejarah pada 7205,21 mata dalam dagangan pagi, melebarkan rekod yang disaksikan pada minggu terakhir 2016, sebelum kembali turun dari paras tertingginya. "2017 bermula dalam gaya yang baik untuk FTSE 100, yang mencatatkan rekod paras tertinggi baharu pada pembukaan," kata Joshua Mahony, penganalisis pasaran di kumpulan perdagangan IG. FTSE kekal dalam jajaran positif pada tengah hari selepas kaji selidik menunjukkan sektor pembuatan United Kingdom (UK) mencecah paras tertinggi dalam tempoh 30 bulan pada Disember. Indeks pengurus pembelian pembuatan (PMI) Markit/CIPS meningkat kepada 56.1 pada Disember selepas menurun kepada 53.6 pada November. "Ia menyediakan bukti lanjut bahawa kelemahan industri selepas referendum terbukti tidak kekal lama," kata penganalisis Capital Economics, Ruth Gregory. Sejak undi Britain memihak kepada keluar dari Kesatuan Eropah (EU) atau dipanggil Brexit, indeks saham mewah FTSE 100 London telah meningkat disebabkan sebahagian besarnya oleh nilai mata wang pound yang lebih lemah, walaupun negara itu kelihatan telah mengetepikan kesan perpisahan dari EU. Sementara itu, Paris CAC 40 mencecah paras tertinggi 13 bulan apabila melewati 4,900 mata selepas data menunjukkan sedikit peningkatan dalam inflasi Perancis pada Disember. Inflasi di Jerman juga meningkat, mencapai paras tertingginya dalam tempoh lebih tiga tahun. Penganalisis berkata, kenaikan itu kebanyakannya berkaitan tenaga, tetapi mengatakan ia juga tanda kekuatan asas dalam ekonomi terbesar di zon euro. Di bursa Frankfurt, saham kewangan meningkat dengan harapan ia boleh menyumbang kepada langkah berperingkat Bank Pusat Eropah memansuhkan dasar kadar faedah monetori yang sangat rendah, yang menjejaskan margin bank. Bagaimanapun, saham perindustrian, bergegas ke arah pengambilan untung selepas dagangan cergas pada Isnin, menolak indeks DAX ke wilayah sedikit lemah. Di tempat lain semalam, kebanyakan pasaran Asia berada pada kedudukan lebih tinggi pada hari dagangan pertama mereka tahun ini. - AFP

author

Leave a reply "Pasaran Saham London Catat Rekod Tertinggi"